PERTEMBUNGAN dua gergasi - Kelantan dan Selangor di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu, esok umpama 'pertemuan buku dengan ruas' menentukan siapa lebih berkuasa dalam saingan Liga Super, musim ini.
Semangat membara selepas mencatat kemenangan 2-0 pada perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah sekali gus memberi tiga mata kepada Red Warriors pada awal musim Liga Malaysia tahun ini, masih menebal di sanubari anak buah Datuk M Karathu untuk sekali lagi bertarung dengan Selangor pada pusingan kedua liga.
Bagaimanapun, pemain tetap berwaspada ketika Selangor dianggap pasukan konsisten musim ini, termasuk menewaskan Sabah 2-1 di Kota Kinabalu, malam kelmarin.
Penjaga gol kebangsaan dan Kelantan, Mohd Khairul Fahmi Che Mat akur tugasan getir menanti pasukan Red Warriors.
“Pertemuan Kelantan dan Selangor ini satu perlawanan yang penting dan turut menjadi perhatian peminat mengenai pasukan mana yang mampu mencapai kemenangan.
“Saya serta rakan sepasukan memberi fokus 100 peratus kepada perlawanan ini dengan misi menggalas cabaran, sekali gus mengutip tiga mata di Kota Bharu,” katanya.
Apa pun, katanya, pemain Kelantan mempunyai komitmen dan semangat tinggi setiap kali bertemu Selangor walaupun menyedari kehadiran lawan kali ini untuk misi membalas dendam kekalahan dalam perlawanan Piala Sumbangsih.
Kelantan, Selangor tentukan siapa lebih berkuasa dalam saingan Liga Super
Tiada ulasan:
Catat Ulasan