KOTA BHARU - Satu pertembungan sengit. Itulah gambaran ringkas mengenai pertarungan dua seteru utama bola sepak tempatan, Kelantan dan peneraju liga, Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, malam ini.
Turun dengan misi berbeza, kedua-dua pasukan dijangka mempertaruhkan barisan terbaik dalam usaha memenuhi cita-cita diimpikan.
Bagi The Red Warriors, misi mereka adalah untuk memungut tiga mata penting, selain mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri.
Sementara Red Giants pula pastinya mahu menebus kekecewaan tumbang 1-2 kepada Kelantan dalam aksi pembukaan awal Januari lalu.
Beraksi di gelanggang sendiri, The Red Warriors sudah tentu mahu menggunakan kelebihan tersebut dalam usaha menyekat Selangor daripada terus memungut tiga mata penting serta mengukuhkan cengkaman di puncak liga.
Bagi pengendali The Red Warriors, Datuk M. Karathu, Kelantan tiada pilihan selain mesti menang jika mahu mencerahkan peluang untuk memburu kejuaraan musim ini.
Berdasarkan prestasi semasa Selangor, The Red Warriors dijangka berdepan laluan sukar dan ia diakui oleh Karathu bahawa pertemuan malam ini satu perlawanan sengit dan kedua-dua pasukan dilihat mempunyai peluang seimbang.
"Saya akui mereka sebuah pasukan yang hebat. Jadi kita akan turunkan barisan terkuat. Perlawanan ini cukup penting buat kita jika mahu terus memberikan tekanan dalam kedudukan carta liga.
"Kurangkan melakukan kesilapan mudah dan jangan terlalu kerap memberikan ruang kepada lawan. Selain itu pertahanan kena kuat dan serangan harus memanfaatkan setiap peluang dan itu adalah kunci kemenangan pasukan," katanya ketika di hubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Karathu memberitahu berkemungkinan tidak akan menyenaraikan penggempur berbisanya yang baru sahaja pulih dari kecederaan, Muhammad Ramzul Zahini Adenan dalam kesebelasan utama.
Tugas tersebut mungkin akan digalas oleh ketua pasukan iaitu Mohd. Badri Razhi yang akan dipasangkan dengan penjaring terbanyak liga, Norshahrul Idlan Tahala.
"Berdasarkan persembahan yang ditunjukkan saya yakin mereka mampu menjadi gantian yang mantap. Saya harap Piya (Mohd. Badri) akan terus mempamerkan aksi terbaiknya seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan sebelum ini," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan