CUKUPLAH dua kali tewas di gelanggang sendiri. Luahan itu disuarakan kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah menjelang perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Shah Alam malam ini.
Kekalahan 2-0 kepada Kelantan pada perlawanan pembukaan bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah dan terbaru pada minggu lalu pasukan kelab dari Terengganu, T-Team pula mencatatkan kemenangan 2-0 sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perjuangan anak-anak buah jurulatih K Devan yang mahu mempertahankan kejuaraan Liga Super musim ini.
“Cukuplah dua kali tewas, janganlah perkara ini terjadi lagi untuk kali ketiga di gelanggang sendiri,” katanya yang turut menyedari saingan pada musim ini amat getir dengan beberapa pasukan yang berada di kelompok teratas liga hanya dibezakan dengan satu atau dua mata.
Selain dua kekalahan itu, Selangor yang sudah mengharungi 11 perlawanan Liga Super mencatat tujuh kemenangan dan dua seri.
Pemain berusia 30 tahun itu turut menggesa rakan sepasukannya yang lain agar mempamerkan permainan yang bertenaga selain memastikan sentuhan penyudah yang tajam untuk menembusi gawang skuad Seladang yang kini paling sedikit dibolosi iaitu lima gol.
“Sejak awal musim kelemahan kami adalah sentuhan penyudah. Kami perlu terus mempamerkan peningkatan pada bahagian yang kritikal ini bagi membolehkan tiga mata dapat diraih,” katanya yang sudah meledak tiga gol di dalam saingan liga.
Mengenai kelebihan lawan, Mohd Amri berkata pasukan yang dibarisi pemain muda itu mempunyai sifat yang rajin dan bekerja keras tanpa mengenal putus asa. “Satu-satunya cara untuk meraih kemenangan adalah menguasai bahagian tengah dan merantai pergerakan penyerang utama mereka, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang dilihat semakin tajam di hadapan gol,” katanya.
Perak yang kini mendapat sentuhan bekas jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar mengumpul 23 mata selepas enam kemenangan dan empat keputusan seri, kurang satu mata berbanding Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan