PENYANDANG juara, Selangor kembali merampas tangga teratas Liga Super selepas menewaskan Harimau Muda A 2-1 pada aksi kesembilan di Stadium Shah Alam kelmarin.
Ia memberi petanda awal bahawa Selangor mahu terus mengungguli saingan liga yang berbaki 17 perlawanan, sekali gus mencipta sejarah muncul juara buat tiga musim berturut-turut.
Menurut jurulatih Selangor, K. Devan, skuad kendaliannya memang layak merampas takhta liga daripada Kelantan setelah menampilkan karakter sebenar ketika menewaskan Harimau Muda A.
"Pemain Selangor menunjukkan kualiti dan karakter mereka untuk kembali bangkit setelah ketinggalan biarpun berdepan lawan yang terbukti lebih muda dan cergas.
"Ini membuktikan pemain senior masih mampu mewakili skuad kebangsaan kerana mereka lebih bagus menangani tekanan perlawanan berbanding pemain muda," kata Devan ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Harimau Muda A mendahului seawal minit keenam menerusi Fandi Othman sebelum Selangor bangkit membalas dua gol menerusi Asraruddin Putra Omar (80) dan Amirulhadi Zainal (84).
Jelas Devan, perjalanan liga masih panjang tetapi dia mahu para pemainnya bijak memberi fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan bagi mengekalkan kedudukan di tangga teratas.
"Apa yang saya mahu, semua pemain cukup cergas pada setiap perlawanan. Ia terpulang kepada pemain untuk memberi tindakbalas positif pada setiap cabaran mendatang," ujarnya.
Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee berharap para pemain Bawah 22 (B-22) negara itu terus belajar daripada kesilapan kerana situasi serupa boleh berlaku pada aksi Kelayakan Olimpik 2012.
"Sudah tiga perlawanan iaitu bertemu Negeri Sembilan, Perak dan Selangor ini, kami melepaskan gol pada 10 minit terakhir. Jadi pemain sepatutnya lebih fokus dan bijak mengawal tekanan.
"Kami menguasai permainan dan memiliki banyak peluang tetapi tidak dimanfaatkan. Sebaliknya gawang kami pula dibolosi Selangor menerusi sepakan sudut dan serangan balas," jelas Kim Swee.
Sabtu ini, Selangor akan bertemu T-Team di Stadium Shah Alam manakala skuad Harimau Muda A berdepan Terengganu di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
(SUMBER KOSMO)
cayalah selangor!!
BalasPadam