PERLAWANAN AKAN DATANG


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Jumaat, 1 April 2011

LIGA M BEREHAT 30 MEI - 6 JULAI 2011


KUALA LUMPUR - Seperti dijanjikan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminda jadual perlawanan Liga Super dan Liga Perdana demi keutamaan kepada persediaan skuad negara dan Bawah 22 Tahun ke Kelayakan Piala Dunia 
2014 dan Sukan Olimpik 2012.

Kedua-dua liga hanya bakal direhatkan dari 30 Mei hingga 6 Julai sekali gus mampu melebarkan senyuman Ong Kim Swee, yang turut mendapati undian pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 kelmarin menyebelahinya kerana menemukan skuad Bawah 22 dengan Lebanon, di samping jurulatih negara, K. Rajagobal.

Tarikh baru bagi perlawanan menentang T-Team, Sabah dan Pahang yang sebelumnya dijadualkan pada Jun, sudah pun diperoleh atas permintaan Kim Swee iaitu 12 Mei, 15 Mei dan 31 Mei ini serta 6 Julai, tanpa perlu menunggu keputusan undian di Rumah Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil itu.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata: "Semua pemain dalam kedua-dua skuad negara ini berpeluang kembali ke pangkuan negeri atau kelab masing-masing. Pindaan ini turut menepati janji kami untuk tidak menjejaskan tumpuan atau peluang mana-mana pasukan dalam liga.

"Kami membuat keputusan berhubung pindaan ini lebih awal setelah mendapat tahu dan membuat congakan mengenai pembahagian kumpulan kelayakan serta ranking negara peserta seperti ditetapkan AFC tanpa perlu menunggu hari undian.

"Malah tiada jadual perlawanan yang dipinda sepanjang bulan April dan Mei manakala separuh akhir Piala FA yang masih disaingi Pahang, Terengganu, Selangor dan Kelantan dikekalkan pada 12 dan 15 Mei selain perlawanan akhir, 11 Jun," katanya.

Sebahagian besar pemain Harimau Muda A yang dibimbing Kim Swee, membarisi skuad Kelayakan Olimpik negara selain diperkuatkan tonggak skuad senior dari skuad negeri handalan Liga Super di samping segelintir bintang Harimau Muda B yang beraksi dalam Liga Perdana yang diterajui Ismail Ibrahim.

Dalam Kelayakan Olimpik, anak buah Kim Wee akan bertandang ke Beirut terlebih dulu, 19 Jun sebelum melayani Lebanon, 23 Jun sementara Rajagobal dan pasukan senior menjadi tuan rumah dalam perlawanan pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia, 29 Jun dan mengunjungi Taipei untuk menentang Taiwan, 3 Julai.

Pada Februari dan bulan lalu, skuad Bawah 22 Tahun negara menewaskan Pakistan 2-0 secara agregat dalam pusingan pertama Kelayakan Olimpik (menang 2-0 di Shah Alam dan diikat tanpa jaringan di Lahore).

Malaysia hanya pernah layak ke Sukan Olimpik pada 1972 di Munich, tetapi memulaukan temasya Moscow 1980 kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan namun masih belum mampu menembusi pusingan akhir Piala Dunia sejak menyertai kelayakannya pada 1973.

Kelayakan Olimpik 2007 menyaksikan anak buah B. Sathianathan disekat Jepun dan Syria di peringkat kumpulan sementara Bahrain menghampakan kita sejak pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2007 dengan agregat 4-1 selepas dua perlawanan di Manama dan Shah Alam.





(Sumber Utusan)




Tiada ulasan:

Catat Ulasan