PERLAWANAN AKAN DATANG


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sabtu, 30 April 2011

TERENGGANU GAGAL PINTAS SELANGOR

PENYERANG Selangor, Mohd Amri Yahyah (kiri) berebut bola dengan pemain Terengganu, Mohd Ashaari Samsudin di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

PENYERANG Selangor, Mohd Amri Yahyah (kiri) berebut bola dengan pemain Terengganu, Mohd Ashaari Samsudin di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.


Kedah gah lonjak tempat keempat selepas tewaskan Perak 3-1 di Ipoh
 

PERTEMBUNGAN dua pasukan teratas Liga Super - pendahulu Selangor dan Terengganu yang hanya dibezakan satu mata - berakhir seri 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, untuk membolehkan Merah Kuning kekal di tangga teratas, malam tadi.
Pada babak pertama, pelawat yang cuba bangkit daripada kekalahan 1-0 di tangan Kelantan Selasa lalu, mengawal permainan sebaik bermula tetapi hanya menembusi gawang tuan rumah selepas minit ke-42.
Safiq Rahim yang bekerja keras memastikan Selangor tidak pulang dengan tangan kosong daripada dua kunjungan ke Pantai Timur, bijak melepasi perangkap ofsaid untuk menyempurnakan hantaran Amri Yahyah tiga minit sebelum rehat. 

Namun pada babak kedua, anak buah Irfan Bakti Abu Salim kembali mempamerkan rentak sebenar untuk mencari gol penyamaan dan Ismail Faruqi tidak mensia-siakan peluang di depan gawang Selangor ketika menyudahkan hantaran lintang Joseph Kalang Tie pada minit ke-62. 

Terengganu kembali mengawal permainan dan hampir menggandakan jaringan menerusi Ismail, tetapi tandukannya ditampan penjaga gol Selangor, Saiful Amar Sudar. 

Selangor kekal di tangga teratas dengan 33 mata, dengan Kelantan berpeluang memintas sekiranya merakam kemenangan ke atas Kuala Lumpur, di Kota Bharu malam ini. 
Di Stadium Perak, Ipoh, rekod tanpa kekalahan gelanggang sendiri tuan rumah akhirnya dicemari dengan kekalahan 3-1 kepada Kedah yang kini memintas lawan itu untuk menduduki tangga keempat dengan 27 mata. 

Gol Kedah dijaringkan Khyril Muhymeen Zambri (m-30), Mohd Firdaus Fauzi (m-75) dan gol sendiri pertahanannya, Mohd Syazwan Roslan (m-83) manakala sol sagu hati tuan rumah menerusi Mohd Noor Hazrul Mustafa pada masa kecederaan. 










SELANGOR ENGGAN LEPASKAN TAKHTA, PERAK TUMBANG

PEMAIN Terengganu, Ismail Faruqi Asha'ri (kanan) dihalang pemain Selangor, P. Gunalan (kiri) dan Mohd. Asraruddin Putra Omar (tengah) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.









KUALA LUMPUR – Selangor hampir melepaskan teraju Liga Super namun berjaya bertahan untuk seri 1-1 dengan Terengganu pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Selangor mempamerkan rentak agresif pada babak pertama terlebih dahulu mengambil giliran mendahului menerusi Safiq Rahim pada minit ke-43.

Hantaran Amri Yahyah berjaya memperdayakan pertahanan Terengganu yang menyangka Safiq berada pada kedudukan ofsaid, sebelum kapten Harimau Malaya itu melepaskan rembatan yang mudah menewaskan Sharbinee Allawee.

Bermula babak kedua, skuad kendalian Irfan Bakti memperkemaskan jentera serangan dan hasilnya pada minit ke-62, gol penyamaan yang dicari-cari akhirnya menjelma.

Gol berpunca daripada hantaran silang Joseph Kalang Tie yang disudahkan oleh Ismail Faruqi menerusi satu tandukan menarik yang menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd. Saiful Amar Sudar.

Walaupun diasak bertubi-tubi oleh Terengganu pada 20 minit terakhir perlawanan, Selangor menarik nafas lega kerana barisan hadapan Terengganu banyak mensia-siakan peluang mendapatkan gol kemenangan.

Namun, kedudukan Selangor selaku pendahulu mungkin sementara jika Kelantan berjaya mencipta kemenangan ke atas Kuala Lumpur di Stadium Sultan Mohammed IV hari ini.

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada Kedah, yang mendapat sentuhan pertama Wan Jamak Hassan.

Mohd. Khyril Muhymeen meletakkan Kedah di depan pada minit ke-30 sebelum Mohd. Firdaus Faudzi menambah derita skuad tuan rumah dengan gol kedua pada minit ke-75.

Pertahanan tuan rumah, Mohd. Syazwan Roslan membunuh semangat rakan sepasukan dan 15,000 penyokong setia Kejor Yob Kejor apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-82.

Mohd. Hazrul Mustafa memberikan jaringan sagu hati Perak pada minit ke-90.










HAJAT TIDAK KESAMPAIAN



AMRI (kiri) bersaing dengan penyerang Terengganu, Mohd. Ashaari Samsudin pada aksi Liga Super di Kuala Terengganu semalam.



IMPIAN Terengganu untuk merampas kedudukan selaku pendahulu Liga Super tidak kesampaian selepas hanya mampu seri 1-1 dengan Selangor semalam.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, skuad Penyu jelas bersemangat untuk mencari tiga mata penuh.
Skuad kendalian Irfan Bakti itu terlebih dahulu memperoleh peluang menjaringkan gol pada minit ke-11, namun sepakan Abdul Manaf Mamat yang hanya berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol Selangor, Saiful Amar Sudar jauh tersasar.


Pasukan pelawat memperoleh peluang pada minit ke-25, kali ini menerusi Fadzli Saari tetapi rembatan kencangnya berjaya ditampan kemas penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee.
Aksi keras kemudian disajikan kedua-dua pasukan dengan Terengganu berjaya menguasai sepenuhnya permainan.
Bagaimanapun, pemain tengah Selangor, Safiq Rahim melenyapkan sorakan hampir 15,000 penonton tuan rumah dengan gol pertama The Red Giant pada minit ke-42.
Gol pertama itu hadir selepas Safiq memperoleh hantaran cantik daripada kapten Amri Yahyah sebelum memperdayakan Sharbinee.
Pada babak kedua, Terengganu yang membuat dua pertukaran dengan memasukkan Ahmad Nordin Alias dan Muhaimin Omar terus menguasai permainan.
Hasilnya, Terengganu berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi Ismail Faruqi yang menanduk bola hantaran silang Joseph Kalang Tie.
Keputusan seri itu menyaksikan Terengganu kekal berada di tangga kedua dengan mengumpul 32 mata, satu mata di belakang Selangor.










KEPUTUSAN PENUH






Jumaat, 29 April 2011

LIGA SUPER (PERLAWANAN KE 16)





29 APRIL 2011
STADIUM SULTAN ISMAIL 
NASARUDDIN SHAH
8.45PM


SIARAN LANGSUNG DI ASTRO ARENA 801



Khamis, 28 April 2011

SELANGOR TIDAK TERJEJAS TANPA SAYA - SAFEE







KUALA LUMPUR - Safee Sali berkata Selangor tetap sebuah pasukan yang kuat walaupun tanpa khidmatnya, yang kini beraksi bersama Pelita Jaya dalam liga Indonesia.

Menurutnya, dia sentiasa mengikuti perkembangan bekas pasukannya itu walaupun sudah berubah angin beraksi dalam liga di negara jiran itu.

"Saya masih mengikuti perjalanan skuad Selangor dari satu perlawanan ke perlawanan lain.
"Apa yang saya perhatikan, Selangor masih sebuah pasukan yang kuat dan tidak terjejas tanpa kehadiran saya, " katanya.

Safee yang bercuti di Malaysia, meluangkan masa bersama penyokong Selangor menyaksikan siaran langsung perlawanan Liga Super di antara Selangor dan Kelantan di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, di sini, anjuran butik sukan Mizi Sports Centre kelmarin.

Dalam perlawanan tersebut, Selangor kalah 0-1 kepada Kelantan hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha pada minit awal perlawanan.

Mengulas kekalahan tersebut, Safee Sali percaya kekalahan di Kota Bharu kelmarin tidak akan menjejaskan peluang Red Giants untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super.
Menurutnya, Selangor memang sukar untuk menjinakkan Kelantan semenjak dahulu lagi apabila beraksi di Stadium Sultan Mohamad V.

"Kelantan memang ada kelebihan apabila beraksi di tempat sendiri, memang sukar untuk mengalahkan mereka jika bermain di sana.

''Bagaimanapun Selangor masih lagi berada di puncak liga dan saya yakin mereka akan bangkit selepas ini, kekalahan ini tidak menjejaskan peluang Selangor," katanya.











DEVAN AKUR KEKALAHAN

KETUA Jurulatih Selangor, K Devan akur pemainnya tidak memberi persembahan tahap sebenar ketika menentang Kelantan, malam kelmarin sehingga membolehkan tuan rumah mengutip mata penuh pada pertemuan yang dianggap ibarat buku dengan ruas itu. 

"Saya akui permainan Selangor tidak seperti permainan biasa mereka dan ini mungkin sebab kita sudah bermain di Sabah dan terpaksa terbang ke Kelantan pula, sedangkan pasukan tuan rumah mempunyai kelebihan rehat tiga hari yang cukup selepas menentang Perlis Jumaat lalu, di gelanggang sama.
"Meletakkan hanya ketua pasukan, Mohd Amri Yahyah pada bahagian depan juga gagal merobek gawang Kelantan, walaupun ada melakukan beberapa serangan bahaya.
"Saya yakin jika kami berjaya menjaringkan gol, perlawanan ini sudah tentu berkesudahan dengan seri," katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad Keempat, Kota Bharu, malam kelmarin. 

Kelantan mendapat gol tunggal menerusi tandukan pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha seawal minit kelima yang disaksikan lebih 25,000 penyokong The Red Warriors. 














Rabu, 27 April 2011

MAYO PAKSA SELANGOR GIGIT JARI





PENYERANG prolifik, Norshahrul Idlan Talaha muncul wira Kelantan apabila tandukan padu ketika permainan hanya berusia lima minit menjadi garis pemisah buat menumbangkan pendahulu Liga Super, Selangor di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, malam tadi.
Disaksikan oleh lebih 25,000 penyokong setia The Red Warriors, anak didik Datuk M Karathu menyentap ego pelawat untuk meraih tiga mata buat merapatkan jurang dengan lawan - sekali gus menghangatkan buruan mahkota kejuaraan, musim ini.
Pertembungan dua gergasi bola sepak tempatan jelas menepati jangkaan dengan Kelantan pantas mengatur gerakan sebaik sepak mula dan hanya memerlukan kurang lima minit untuk mendahului permainan. Norshahrul atau Mayo bijak menanduk bola ke kanan gawang menewaskan penjaga gol Selangor, Saiful Amar Sudar. 

Selangor yang masih mendahului kedudukan Liga Super dengan mengumpul 32 mata, hampir menyamakan kedudukan seminit kemudian, tetapi sepakan sudut Safiq Rahim gagal disudahkan oleh jentera serangan K Devan. 

Pasukan pelawat mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang keemasan menyamakan kedudukan sepanjang babak pertama, tetapi dua sepakan percuma dari luar kotak penalti, sekadar tersasar jauh dari gawang Kelantan. 

Peluang terbaik muncul menerusi larian pantas Mohd Amri Yahyah yang menerima umpanan cantik di dalam kotak penalti, tetapi tolakan ke gawang tuan rumah sempat ditepis penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat. 
Pada babak kedua, Selangor meningkatkan rentak permainan dan sekali lagi hampir menyamakan kedudukan menerusi Amri, tetapi rembatan dari sudut sukar yang dilepaskannya sekadar terkena tiang. 

















KELANTAN BENAM EGO SELANGOR







NORSHAHRUL (kiri) dicabar pertahanan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi. Kelantan menang 1-0.



PENGGEMPUR berbisa, Norshahrul Idlan Talaha dijulang sebagai wira apabila meledak gol ketika membantu Kelantan membenam pendahulu Liga Super, Selangor 1-0 malam tadi.
Gol menerusi tandukannya seawal minit keempat pada aksi di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu itu sudah cukup untuk Kelantan kembali bangkit menyaingi takhta liga.
Sebaik wisel permulaan dibunyikan, Kelantan terus melakukan asakan untuk mendapatkan gol awal dan Norshahrul yang tidak dikawal berjaya menanduk masuk bola menewaskan Saiful Amar Sudar di gawang Selangor.
Segala-galanya berpunca daripada lontaran ke dalam oleh pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin yang ditanduk ke belakang oleh ketua pasukan, Badri Radzi sebelum Norshahrul mudah merobek gawang Selangor untuk gol tunggal perlawanan.
Peluang Selangor hadir pada minit ke-23 menerusi pemain pertahanan, Nasriq Baharom yang menanduk bola hasil sepakan percuma Amri Yahyah, namun sedikit melepasi palang gol.
Selang enam minit kemudian, Norshahrul sekali lagi mencemaskan benteng Selangor apabila rembatannya gagal ditangkap kemas oleh Saiful Amar tetapi bola tersebut bergolek keluar.
Babak kedua perlawanan menyaksikan Selangor bermula garang menerusi rembatan Amri dari penjuru kanan gawang Kelantan yang mengelirukan Khairul Fahmi Che Mat, namun ia sekadar singgah di tiang gol.
Pemain sayap lincah Kelantan, Nurul Azwan Roya turut berpeluang mencatat nama sebagai penjaring, namun rembatannya selepas menerima umpanan Norshahrul dihalang pertahanan Selangor.
Penghujung babak perlawanan, penyerang Selangor, Fadzli Saari mampu mengubah keputusan perlawanan, namun rembatan kencangnya sedikit tersasar.
Kelantan yang 'dibantu' hampir 25,000 penyokong mendapat suntikan semangat dengan kehadiran Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang mencemar duli menyaksikan perlawanan tersebut.









TERENGGANU, KELANTAN HIMPIT SELANGOR

KUALA LUMPUR - Terengganu merapatkan jurang satu mata dengan Selangor dalam carta bola sepak Liga Super selepas pendahulu liga itu kecundang 1-0 kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, semalam.

Kegagalan Merah Kuning menembusi kubu Wira Merah, turut membantu Si Penyu yang diterajui Irfan Bakti Abu Salim kekal mengekori di tangga kedua dengan 31 mata setelah menumpaskan Sabah 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Jaringan tunggal hasil tandukan penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha seawal minit kelima, sudah memadai untuk menghampakan anak buah K. Devan tetapi masih mengekalkan Kelantan di tangga ketiga dengan 30 mata.

Pemain Terbaik Liga-M 2010 itu menanduk menewaskan penjaga gol Saiful Amar Sudar, selepas menyambung tandukan awal ketua pasukan, Badri Radzi di dalam kotak penalti yang berpunca daripada lontaran ke dalam.

Menambah tiga mata dengan menewaskan Kuala Lumpur 5-3 di Stadium Perak, Ipoh, Perak pula melonjak ke tangga keempat liga sambil memintas Kedah, yang kini diterajui bekas jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan.

Gol Seladang dihasilkan oleh Razali Umar Kandasamy, gol sendiri Ahmad Dasila Tajuddin, Fazrul Hazli, Shafiq Jamal dan Nor Hazrul Mustafa manakala pelawat membalas menerusi See Kok Luen, Ahmad Hazwan Bakri dan Khairul Anuar Shafie.

Indra Putra Mahayuddin, Shamsul Kamal Mohamad dan Zairo Anuar Zailani menghampakan Wan Jamak dan Si Kenari 3-1 dengan gol buat T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Sayap kanan, Baddrol Bakhtiar menyumbat gol tunggal Kedah sejurus sebelum tamat babak pertama tetapi belum cukup untuk mengelak kekalahan itu dan kejatuhan Kedah ke tangga kelima liga.










KEPUTUSAN PENUH






Selasa, 26 April 2011

LIGA SUPER (PERLAWANAN KE 15)







26 APRIL 2011
STADIUM SULTAN MOHD KE - IV
8.30PM

SIARAN LANGSUNG DI ASTRO ARENA 801




MISI SUKAR JINAKKAN RED GIANTS



KOTA BHARU - Satu pertembungan sengit. Itulah gambaran ringkas mengenai pertarungan dua seteru utama bola sepak tempatan, Kelantan dan peneraju liga, Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, malam ini.
Turun dengan misi berbeza, kedua-dua pasukan dijangka mempertaruhkan barisan terbaik dalam usaha memenuhi cita-cita diimpikan.
Bagi The Red Warriors, misi mereka adalah untuk memungut tiga mata penting, selain mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri.
Sementara Red Giants pula pastinya mahu menebus kekecewaan tumbang 1-2 kepada Kelantan dalam aksi pembukaan awal Januari lalu.
Beraksi di gelanggang sendiri, The Red Warriors sudah tentu mahu menggunakan kelebihan tersebut dalam usaha menyekat Selangor daripada terus memungut tiga mata penting serta mengukuhkan cengkaman di puncak liga.
Bagi pengendali The Red Warriors, Datuk M. Karathu, Kelantan tiada pilihan selain mesti menang jika mahu mencerahkan peluang untuk memburu kejuaraan musim ini.
Berdasarkan prestasi semasa Selangor, The Red Warriors dijangka berdepan laluan sukar dan ia diakui oleh Karathu bahawa pertemuan malam ini satu perlawanan sengit dan kedua-dua pasukan dilihat mempunyai peluang seimbang.
"Saya akui mereka sebuah pasukan yang hebat. Jadi kita akan turunkan barisan terkuat. Perlawanan ini cukup penting buat kita jika mahu terus memberikan tekanan dalam kedudukan carta liga.
"Kurangkan melakukan kesilapan mudah dan jangan terlalu kerap memberikan ruang kepada lawan. Selain itu pertahanan kena kuat dan serangan harus memanfaatkan setiap peluang dan itu adalah kunci kemenangan pasukan," katanya ketika di hubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Karathu memberitahu berkemungkinan tidak akan menyenaraikan penggempur berbisanya yang baru sahaja pulih dari kecederaan, Muhammad Ramzul Zahini Adenan dalam kesebelasan utama.
Tugas tersebut mungkin akan digalas oleh ketua pasukan iaitu Mohd. Badri Razhi yang akan dipasangkan dengan penjaring terbanyak liga, Norshahrul Idlan Tahala.
"Berdasarkan persembahan yang ditunjukkan saya yakin mereka mampu menjadi gantian yang mantap. Saya harap Piya (Mohd. Badri) akan terus mempamerkan aksi terbaiknya seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan sebelum ini," ujarnya.










Isnin, 25 April 2011

PERTEMBUNGAN DUA GERGASI





PERTEMBUNGAN dua gergasi - Kelantan dan Selangor di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu, esok umpama 'pertemuan buku dengan ruas' menentukan siapa lebih berkuasa dalam saingan Liga Super, musim ini.

Semangat membara selepas mencatat kemenangan 2-0 pada perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah sekali gus memberi tiga mata kepada Red Warriors pada awal musim Liga Malaysia tahun ini, masih menebal di sanubari anak buah Datuk M Karathu untuk sekali lagi bertarung dengan Selangor pada pusingan kedua liga.
Bagaimanapun, pemain tetap berwaspada ketika Selangor dianggap pasukan konsisten musim ini, termasuk menewaskan Sabah 2-1 di Kota Kinabalu, malam kelmarin. 

Penjaga gol kebangsaan dan Kelantan, Mohd Khairul Fahmi Che Mat akur tugasan getir menanti pasukan Red Warriors. 

“Pertemuan Kelantan dan Selangor ini satu perlawanan yang penting dan turut menjadi perhatian peminat mengenai pasukan mana yang mampu mencapai kemenangan. 

“Saya serta rakan sepasukan memberi fokus 100 peratus kepada perlawanan ini dengan misi menggalas cabaran, sekali gus mengutip tiga mata di Kota Bharu,” katanya. 
Apa pun, katanya, pemain Kelantan mempunyai komitmen dan semangat tinggi setiap kali bertemu Selangor walaupun menyedari kehadiran lawan kali ini untuk misi membalas dendam kekalahan dalam perlawanan Piala Sumbangsih. 




Kelantan, Selangor tentukan siapa lebih berkuasa dalam saingan Liga Super 









Ahad, 24 April 2011

SELANGOR SELESA TERAJUI LIGA




SELANGOR mengukuhkan kedudukan pendahulu Liga Super apabila menundukkan penghuni tangga tercorot, Sabah 2-1 manakala Terengganu mengambil alih tangga kedua daripada Kelantan hasil kemenangan 3-0 ke atas Perak, malam tadi.

  • Di Stadium Likas, pertemuan Selangor dan Sabah menyaksikan tuan rumah terlebih dulu menggegarkan jaring pelawat pada minit ke-10 hasil tandukan Rosdin Wasli selepas menerima hantaran cantik hasil sepakan bebas Hariri Mohd Safii.
    Namun anak buah K Devan bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Bunyamin Umar pada minit ke-36 dan Selangor memperoleh gol kemenangan apabila Mohd Amri Yahyah menyempurnakan hantaran Safiq Rahim pada minit ke-65. 


  • Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu menghadirkan kekalahan ketiga buat Perak musim ini, apabila membelasah skuad kendalian Norizan Bakar 3-0 untuk melonjak ke tangga kedua liga dengan 28 mata, satu melebihi Kelantan. 

    Gol Terengganu muncul pada minit ke-15 menerusi Abdul Hadi Yahya yang mendapat hantaran Ashaari Samsudin sebelum merembat kencang untuk menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Nasril Nourdin. 

    Pada babak kedua, tuan rumah memperoleh gol kedua menerusi Reeshafiq Alwi (m-68) yang mendapat umpanan cantik Abdul Hadi dan Joseph Kalang Tie menjadikan kedudukan 3-0 selepas bijak menyambar bola muntah dari dakapan Nasril pada minit ke-68. 

  • Di Stadium Darulaman, Kedah yang mendapat khabar gembira apabila bekas jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan bakal mengendali pasukan itu, dikejutkan dengan kekalahan 2-1 di tangan Harimau Muda A. 


  • Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Johor FC melakar kemenangan pertama di gelanggang sendiri selepas menewaskan T-Team 2-1 hasil tandukan kemas Shahrizal Saad (m-18) dan Mohd Rashid Aya (m-79) manakala Indra Putra Mahayuddin (m-86) mendapatkan gol sagu hati T-Team. 


  • Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan menamatkan kemarau kemenangan di bawah jurulatih baru, Mohd Azraai Khor Abdullah apabila menewaskan Pahang 3-1. 














  • AZRAAI KECAP KEMENANGAN PETAMA, SELANGOR KUKUH KEDUDUKAN




    KUALA LUMPUR - Selepas enam perlawanan, Mohd. Azraai Khor Abdullah akhirnya mengecap kemenangan pertama bersama Negeri Sembilan dengan kemenangan 3-1 ke atas Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

    Kejayaan itu hadir selepas keputusan berani bekas pengendali Harimau Muda itu menggunakan tiga pemain Piala Presiden di dalam kesebelasan utama selain memilih menggunakan khidmat Mohd. Farizal Harun selaku penjaga gol utama menggantikan Farizal Marlias.

    Negeri Sembilan sudah berada di hadapan semenjak minit ke-13 apabila Shahurain Abu Samah menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada ke-13.
    Semangat Pahang untuk melawan semakin longlai pada minit ke-28 selepas pemain tinggi lampai, G. Mahathevan menanduk masuk hasil bola yang berpunca daripada sepakan sudut daripada sebelah kiri.

    Kedudukan skuad Hoben Jang Hoben bertambah kukuh apabila penyerang muda, Mohd. Firdaus Azizul merembat deras dari penjuru kiri gol Pahang pada minit ke-58.
    Pahang mendapat gol saguhati pada minit ke-77 menerusi percubaan jarak jauh menarik daripada R. Kartigesu.

    Di Stadium Likas, pendahulu liga, Selangor bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Sabah 2-1. Rosdin Wasli terlebih dahulu meletakkan Sabah di hadapan pada minit ke-11.
    Namun, Selangor berjaya mendapat kemenangan bagi mengekalkan kelebihan empat mata di atas pencabar terdekat Terengganu menerusi jaringan daripada Bunyamin Umar pada minit ke-35 dan Amri Yahyah pada minit ke-65.

    Harimau Muda A pula menebus kekalahan 1-0 ke atas Kedah pada Rabu lalu apabila menang 2-1 di Stadium Darul Aman
    .
    Penyerang kebangsaan, Izzaq Faris Ramlan membuka tirai jaringan pada minit ke-29 sebelum Mohd. Fandi Othman menambah jaringan Harimau Muda A pada minit ke-55 hasil daripada sepakan percuma. Kedah mendapat gol tunggal melalui sepakan penalti yang diambil Baddrol Bakhtiar pada minit ke-63.

    Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu menewaskan Perak 3-0 bagi mengekori rapat kedudukan Selangor manakala Johor FC juga mencipta kemenangan penting 2-1 ke atas T-Team di Stadium JCorp, Pasir Gudang.
















    THE RED GIANTS SEMAKIN MENYENGAT



    SELANGOR memulakan pusingan kedua Liga Super 2011 dengan mengekalkan status sebagai pendahulu dengan mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sabah pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam tadi.
    Skuad The Red Giants itu bagaimanapun tersentak seketika apabila Rosdin Wasli meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-11.
    Begitupun, Bunyamin Umar berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36 sebelum Amri Yahyah muncul wira Selangor dengan gol kemenangan pada minit ke-65.
    Kejayaan ini menyaksikan Selangor kekal mendahului Liga Super dengan 32 mata, empat mata mengatasi pasukan Terengganu yang turut mencatat kejayaan mengalahkan Perak 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
    Kemenangan Terengganu semalam juga menyaksikan mereka melonjak ke tangga kedua liga dengan kelebihan satu mata ke atas Kelantan yang menang 4-0 ke atas Perlis kelmarin.
    Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, tuan rumah, Johor FC berjaya mencatat kejutan dengan mengalahkan T-Team 2-1.
    Di Stadium Darul Aman, Alor Setar pula menyaksikan Kedah tumbang 1-2 di laman sendiri kepada Harimau Muda A.
    Ini pastinya satu tamparan buat skuad Hijau Kuning itu yang baru saja mengambil Wan Jamak Wan Hassan sebagai jurulatih baru mereka.
    Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan bangkit dari prestasi tidak menentu dengan kejayaan 3-1 ke atas Pahang.