KEBANGKITAN Selangor selepas tiga kekalahan berturut-turut membolehkan skuad Merah Kuning itu terus bersaing merebut kejuaraan Liga Super musim ini yang berbaki tiga perlawanan lagi.
Saingan Liga Super kini terarah kepada tiga penjuru dengan Selangor di bawah bimbingan ketua jurulatih K Devan berada di tempat ketiga dengan mengumpul 45 mata, ketinggalan dua mata kepada dua seteru dari pantai timur, Kelantan dan Terengganu yang dibezakan dengan jaringan gol.
Menurut kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah kemenangan itu hadir tepat pada masanya bagi membangkitkan kembali moral dan tahap keyakinan rakan sepasukannya yang lain.
“Hasrat kami untuk mencatatkan kemenangan selepas tiga kekalahan akhirnya tercapai dan lebih menggembirakan ia hadir di gelanggang sendiri (Stadium Shah Alam) sekali gus menunjukkan kami masih tidak berputus asa mempertahankan gelaran liga.
“Semua rakan sepasukan menunjukkan komitmen yang tinggi termasuk beberapa pemain yang tidak mencapai tahap kecergasan yang sepenuhnya seperti Mohd Rudie Ramli, Mohd Fadzli Saari dan Mohd Hardi Jaafar namun tetap turun beraksi untuk merealisasikan impian meraih tiga mata,” katanya ketika dihubungi semalam.
Selangor menewaskan Negeri Sembilan 2-0 pada perlawanan ke-23 Liga Super menerusi dua jaringan separuh masa kedua sumbangan Mohd Rudie dan Mohd Fadzli. Kapten Selangor berusia 30 tahun juga berharap mereka akan dapat mengutip mata penuh apabila mengharungi baki tiga perlawanan terakhir selepas liga bersambung semula 6 Jun ini menentang Perlis, Felda United (14 Jun) dan Perak (6 Julai).
“Kami memang mengharapkan tiada akan tercicir sebarang mata lagi manakala Kelantan dan Terengganu mungkin akan tercicir mata kerana bertemu sesama sendiri serta perlu menghadapi lawan yang lebih sukar berbanding kami,” katanya.
Selangor kini memburu gelaran hatrik Liga Super musim ini selepas terlepas Piala Sultan Ahmad Shah dan Piala FA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan