PERLAWANAN AKAN DATANG


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Rabu, 25 Mei 2011

DEVAN BEGANG

“KENAPA saya harus letak jawatan. Dalam tempoh dua tahun, saya sudah membawa lima piala untuk Selangor, ada jurulatih lain boleh memberikannya?”
Persoalan itu dilontar ketua jurulatih Selangor yang juga pengurus pasukan, K Devan berikutan khabar angin peminat Merah Kuning itu yang hilang sabar akibat kekalahan 2-1 kepada Pahang, Jumaat lalu ketika skuad itu memerlukan kemenangan untuk terus bersaing merebut kejuaraan Liga Super musim ini.

“Kalau saya letak jawatan, adakah jurulatih lain mampu memberikan kejayaan seperti yang saya bawa dalam tempoh dua tahun lalu.
“Semua kesilapan termasuk tersingkir dari saingan Piala FA adalah kerana barisan pertahanan, tiada kaitan unsur lain. Malah Selangor baru ketinggalan dua mata, bukannya berada dalam pasukan bawahan liga,” katanya.

Jurulatih berusia 50 tahun itu membawa Selangor menjulang tiga piala iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Sultan Ahmad Shah pada 2009 yang juga tahun pertamanya membimbing Selangor dan disusuli kejayaan mempertahankan dua daripada kejuaraan itu pada 2010.

Beliau bagaimanapun tidak terganggu dengan khabar angin dan sebaliknya memberikan tumpuan penuh dalam misi meraih tiga mata apabila berdepan Harimau Muda A di Stadium Shah Alam malam ini.
“Saya akui kami perlu menang perlawanan ini bagi memulihkan kembali keyakinan serta moral pemain dan saya yakin peluang mempertahankan kejuaraan masih ada kerana Kelantan dan Terengganu bakal tercicir mata (kedua-dua pasukan itu bertemu pada 6 Julai ini),” katanya.

Devan bagaimanapun perlu memikirkan strategi terbaik untuk aksi itu kerana tidak dapat menggunakan khidmat beberapa pemain utama seperti Khairul Anuar Baharom, Mohd Razman Roslan, Mohd Hardi Jaafar, Mohd Amirulhadi Zainal dan Mohd Fadzli Saari manakala nasib Mohd Safiq Rahim, Mohd Rudie Ramli dan P Gunalan yang mengalami kecederaan ringan belum dapat dipastikan.
Selangor yang memburu gelaran hatrik Liga Super musim ini berada di tempat ketiga dengan 42 mata di belakang Kelantan dan Terengganu yang kini berkongsi 44 mata namun dibezakan jumlah jaringan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan